Bismillahirrahmaanirraheem... (saya perlu cari versi bahasa Arab nya)
Setelah menulis semalam, saya terfikir lagi. Sekiranya saya ingin fokuskan seluruh tenaga dan usaha saya kepada 3 P yang saya nyatakan tersebut, seolah-olah saya langsung tidak mahu fikirkan soal menjalankan penyelidikan. Juga yang berkait rapat dengan penyelidikan adalah penulisan. Benarkah begitu?
Tidak juga. Saya amat suka menulis. Untuk menegaskan lagi minat saya menulis, "That's my passion!". Sejak saya melangkahkan kaki di IPT, itulah cara saya meluahkan perasaan dan stres saya, cumanya semua yang ditulis menggunakan pen dan kertas. Ya, betul, cuma penulisan tersebut bukanlah yang boleh dikategorikan sebagai penulisan ilmiah/akademik.
Walau bagaimanapun, pada pendapat saya adalah lebih berfaedah sekiranya perkara yang ditulis itu membawa manfaat kepada orang ramai (masyarakat) berbanding menulis di makalah-makalah. Mungkin profesor-profesor di IPT akan menggelengkan kepala sekiranya membaca penyataan saya ini.
Mungkin juga selaku pensyarah 'muda', saya masih belum jelas arah tujuan. Penulisan ilmiah itu adalah arah tujuan kareer saya, manakala penulisan curahan minda saya boleh memberi manfaat kepada masyarakat (mungkin ya dan mungkin juga tidak). Aduh! Cumanya saya lebih rasa berkobar-kobar dan bersemangat untuk menulis kategori yang kedua.
Saya telah beberapa kali menyertai bengkel penulisan yang dikendalikan oleh Puan Ainon berkisar tentang penulisan fiksyen. Yang ini, saya amat suka. Terbayang-bayang di kepala apa yang ingin saya tulis. Namun apabila pulang sahaja dari bengkel, lenyaplah semua bayangan saya kerana tuntutan masa bekerja yang mencapah ke 7P.
Dengan menulis di sini, saya rasa lebih jelas apa yang saya suka.
Ya, saya suka menulis! Dan saya suka menulis sesuatu yang boleh memberi manfaat kepada orang ramai dan bukannya di kalangan sekelompok manusia. Saya suka menulis bahan-bahan fiksyen dan bahan-bahan untuk pengajaran saya. Saya mungkin tidak akan digelar seorang pakar kerana tidak menyumbangkan idea saya kepada sekelompok manusia contohnya dengan menulis di jurnal-jurnal. Namun saya berharap dan berdoa semoga saya boleh menyumbang ke arah pembangunan akhlak manusia. Itu juga 'passion' saya. Sejak dahulu lagi, saya amat minat bidang motivasi.
Legaaa rasanya hati saya. Saya sudah nampak arah tuju saya. Alhamdulillah. Itu semua akan menjadi fokus saya bermula hari ini! Saya sudah tidak sabar-sabar lagi untuk mengorak langkah mencapai sesuatu yang amat bermakna dalam hidup saya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment