Bismillahirrahmaanirraheem...
Hari ini merupakan hari ke 18 bulan Syawal. Pada ketika ini, saya berada di Sri Damansara, rumah abang saya, tempat saya menumpang 2 minggu sekali: setiap kali saya ke Kuala Lumpur untuk mengajar di UTM Jalan Semarak.
Sudah lama rasanya tidak mempunyai masa sebegini, duduk berfikir dan mencurahkan idea. Alhamdulillah, diberi kelapangan hati dan fikiran untuk menulis dan mencurahkan idea. Sebenarnya saya sendiri tidak pasti apa matlamat saya menulis pada hari ini dan apa yang ingin dikongsi. Sekadar hanya ingin menulis apa sahaja yang terbuku di benak. Sudah sekian lama 'membayangkan' ingin menulis, namun belum tercapai, hingga lah hari ini, diberi kesempatan. Alhamdulillah, syukur...
Seperkara yang saya sering kali terfikir dan terfikir. Kadang-kala saya abaikan sahaja apa yang difikirkan itu. Kerja oh kerja..Tuntutan menjadi pendidik sememangnya amat berat. Diharapkan pendidik ini mengajar, mengurus, membuat penyelidikan, menulis, menyumbang bakti kepada masyarakat, membangunkan pelajar dan ada seperkara lagi ..yang melengkapkan 7P. Bukannya mempertikaikan kerana tidak suka menjadi pendidik. Itulah cita-cita saya sejak di institusi pengajian tinggi. Niat saya, ingin menjadi pendidik bangsa.
Perkara yang seringkali menjadi persoalan ialah 'Yang mana satukah antara 7P menjadi prioriti?'. Tidak bolehkah sekiranya saya memilih beberapa P daripada kesemua P? Tidak hebatkah saya kalau saya pilih beberapa P sahaja?
Bukankah lebih baik tumpukan perhatian kepada perkara yang sedikit tetapi dengan usaha yang gigih dan bersungguh-sungguh, berbanding mengejarkan kesemua P, namun usahanya hangat-hangat tahi ayam sahaja.
Itulah konflik dalam diri saya selaku seorang pensyarah 'muda'. Hujung minggu hadapan, genaplah 3 semester saya mengajar setelah tamat pengajian peringkat sarjana. Saya berfikir lagi. Apakah sebenarnya dikejar dalam dunia ini? Bukankah banyak ayat-ayat dalam Al-Quran, manusia diingatkan 'Akhirat itu lebih baik daripada dunia!'. Juga banyak dalam hadith-hadith, Rasulullah menegaskan tentang keburukan dunia.
Salahkah sikap saya sekiranya pada fikiran saya, saya lebih seronok mengajar dan pada masa yang sama menimba ilmu akhirat pula. Ya, mungkin sekiranya saya berbuat demikian kuranglah atau tertutuplah peluang saya untuk naik pangkat, namun saya rasa hati saya lebih tenang. Hidup lebih teratur dan kurang stres.
Mungkin ini akan dianggap oleh satu pembaziran oleh sesetengah pihak. Pembaziran yang dimaksudkan di sini ialah, saya selaku pensyarah muda, sepatutnya menggembleng tenaga untuk mencurahkan bakti dan memajukan universiti. Begitu kah seharusnya?
Bagaimana pula sekiranya saya memilih:
1) Mengajar
2) Membangunkan pelajar
3) Memberi khidmat kepada masyarakat
3 P sahaja?
Mungkin inilah jalan bahagia untuk saya?
Moga ALLAH tunjukkan jalan terbaik untuk diri saya di dunia dan akhirat. Ameeen.
No comments:
Post a Comment